Sedarlah wahai diri!!

وَالَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ (٢٦)وَالَّذِينَ هُمْ مِنْ عَذَابِ رَبِّهِمْ مُشْفِقُونَ (٢٧)إِنَّ عَذَابَ رَبِّهِمْ غَيْرُ مَأْمُونٍ (٢٨)
26. Dan mereka Yang percayakan hari Pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal Yang soleh sebagai buktinya);
27. Dan mereka Yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya, -
28. Kerana Sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya;
(Al-maa’rij:26-28)
Hari silih berganti. Umur kita makin lama makin berkurang. Jika difikirkan kembali, sebenarnya telah banyak masa yang telah kita bazirkan. Masa-masa keemasan kita dibiarkan begitu sahaja tanpa diisi dengan amalan-amalan yang bermanfaat. Buktinya kita lihat masyarakat pada ketika ini. Jauh…terlalu jauh dengan hidayah Allah.
Salah siapakah semua ini?. Tanya diri kita sendiri. Sejauh mana aku telah korbankan diri ini untuk menyampaikan kalimah tauhid kepada masyarakat?. Banyak mana harta telah aku belanjakan bagi memastikan kalimah yang agung ini tertegak di atas muka bumi ini?
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (١٠)تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (١١)يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١٢)
10. Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya?
11. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya).
12. (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga ” Adn “. itulah kemenangan Yang besar.
(As-Sof:10-12)
Kalau jiwa dan harta yang kita korbankan tidak mencapai tahap yang dikehendaki Allah, mampukah kita untuk memperolehi syurganya?. Bayangkan jika kita ingin membeli sebuah komputer berharga LE 3000. Tetapi kita hanya mampu membelanjakan LE 2500. Mampukah kita memiliki komputer tersebut?. Begitulah ganjaran syurga Allah. Kalau kita tidak mampu mengorbankan jiwa, harta dan masa kita untuk menegakkan kalimah Allah, janganlah bermimpi untuk menjejakkan kaki ke dalam syurga Allah.
Ayuhlah sahabat-sahabat sekalian. Kita berhenti sejenak. Kita kembali meniup semangat dalam jiwa kita ini. Kembali memperbaharui niat kita hanya kerana ingin mendapat redha Allah sema-mata. Ingatlah…mati tidak mengenal usia dan jantina. Tetapi sejauh mana kita bersedia kearah itu. Sesungguhnya antara ciri-ciri mukmin itu ialah mereka percaya akan hari kiamat, dan mereka merasai takut jika azab Allah menimpanya. (al-maa’rij:26-28) Setiap detik itu mereka amat manjaganya. Mereka merasakan walaupun telah banyak amalan yang dilakukan, tetapi tetap merasai diri ini masih lagi bersalah.
Masih belum terlambat untuk kita bertaubat. Persiapkanlah diri kita. Jalan ini masih panjang. Kemenangan tidak akan muncul dengan tiba-tiba. Ianya memerlukan pengorbanan yang tinggi. Didiklah diri ini dengan didikan Islam yang sebenar. Buanglah semua perkara-perkara lalai jauh-jauh.
Akhir sekali, tanyalah diri kita sendiri, jika benar aku ingin mencium bau syurga, maka apa yang telah aku lakukan???



