Apa yang telah aku lakukan???

Hadith nabi :
“Tidak sempurna iman seseorang itu sehinggalah aku lebih dia cintai dari dirinya dan ibu bapanya”
Dalam kesibukan kita mengambil tahu mengenai perkembangan pilihan raya di Malaysia, satu peristiwa besar berulang kembali di utara Eropah, peristiwa yang hanya diketahui oleh mereka yang tinggi iman dan cintanya kepada pembawa dakwah islam, peristiwa yang hanya diambil berat oleh mereka yang sentiasa sensitif terhadap penghinaan ke atas islam, hanya akan ada tindak balasnya dari mereka yang sentiasa mengharapkan syafaat dari nabi di akhirat kelak.
Sekali lagi nabi Muhammad yang kita imani dengan asbab dialah kita dapat menikmati Islam yang kita anuti hari ini, telah dihina oleh pihak media Denmark. Untuk kali keduanya mereka menghina nabi, ini memberi gambaran jelas Islam ketika ini sudah hilang taringnya dan rendahnya maruah Islam..
Cuba kita bayangkan bapa kita, gambarnya dipermain-mainkan seperti dibesarkan hidungnya, kemudiannya diedarkan ke seluruh negara sebagai bahan jenaka. Apakah perasaan kita sebagai anak ketika itu? Semestinya kita marah, geram, dan jika boleh kita akan membelasah si pelukis durjana itu dengan sepuas-puasnya. Tapi kini insan yang dihinakan itu bukannya ayah kita tetapi Rasul utusan Allah yang telah berusaha bersungguh-sungguh berdakwah sehingga Islam berjaya bertapak di muka bumi ini. Nabi yang risau memikirkan umatnya yang selalu lalai dari mengingati Allah. Nabi yang tidak pernah kenal erti penat dan rehat dalam menyebarkan dakwah Islamiyah.
Namun persoalannya ketika ini, apa yang telah kita lakukan untuk mempertahankan nabi Muhammad yang kita cintai? Apakah jawapan yang sanggup kita berikan apabila di akhirat kelak kita ditanya Nabi tentang apa yang kita lakukan terhadap penghinaan ini?
Ya benar, kita tiada senjata untuk diangkat menentang musuh, kita tiada kuasa veto untuk mengadakan sekatan kewangan dan perubatan ke atas musuh, kita tiada bom nuklear untuk diledakan di negara musuh, tetapi kita mempunyai iman yang hidup di dalam jiwa.
Dari iman yang ada kita berusaha semampu mungkin menentang penghinaan musuh. Umat islam merupakan antara pengguna terbesar barangan Denmark, jadi kita boleh menentang mereka dengan menboikot barangan Denmark. Kita tanamkan kesedaran di hati setiap orang Islam bahawa kita perlu merasa bertanggungjawab mempertahankan maruah nabi dan Islam itu sendiri, kita boleh menulis artikel-artikel mengadakan ceramah atau tazkirah bagi membangkitkan perasan sensitif umat Islam terhadap tindakan musuh.
Akhir sekali, bersamalah kita kembali menghisab diri betapa kita sekarang berada di dalam situasi yang menyedihkan, sedarlah bahawa jalan penyelesaian terhadap segala kekusutan ini hanyalah dengan membina rijal-rijal yang mampu mengerakkan semula gerakan dakwah dan dari situlah kita membina kekuatan baru serta meletakkan Islam sebagai tamadun yang mencorak dunia ini. Wallahu ‘alam.




'Aliy said,
March 2, 2008 at 7:52 am
Allah yeftah `alaik..
permulaan yg baik..teruskan usaha demi islam tercinta!